|
aramyra
Moderator
    
 Malaysia
3032 Posts |
Posted - 18/05/2005 : 05:09:34 AM
|
Makanan elak sembelit
Oleh DR ASMUNNI YAHYA Pakar Perunding Paediatrik
IBU mana yang tidak susah hati melihat anak kecilnya tidak berhenti menangis akibat sembelit. Masalah sembelit adalah antara perkara yang sering terjadi pada bayi dan kanak-kanak tanpa mengenal usia.
Setiap bayi yang baru lahir sepatutnya dapat mengeluarkan najis dalam tempoh 24 jam selepas lahir. Sekiranya gagal berbuat demikian, ia boleh menjadi petanda kepada masalah yang lebih serius seperti penyakit Hirschsprung, meconium ileus atau kongenital hypothyroidism yang memerlukan pemeriksaan susulan.
Semasa peringkat bayi, ibu yang memberikan susu badan kerap mengadu bayi mereka mendapat sembelit apabila mereka mulai bekerja. Masalah ini boleh terjadi sekiranya ibu sibuk dan kurang meminum air sehingga boleh memberi kesan terhadap kualiti susu anak mereka sehingga menyebabkan sembelit.
Masalah sembelit juga boleh berlaku apabila anak anda mulai mengambil makanan pejal selepas usia empat bulan. Apabila anak semakin membesar, masalah sembelit yang terjadi boleh disebabkan beberapa faktor yang lain seperti luka di bahagian dubur, anotomikal lubang dubur (ectopic anus), kurang pengambilan makanan berserat, air atau ubat tertentu.
Sembelit biasanya dikesan ibu bapa sekiranya anak mereka sukar untuk membuang air besar sehingga terpaksa meneran dan mengeluarkan najis yang keras dan kadangkala berdarah.
Ada kalanya anak mereka membuang air besar melebihi tiga hari sekali atau kurang dari tiga kali seminggu. Antara simptom lain yang boleh terjadi akibat sembelit ialah senak perut, kurang selera makan, gelisah, ada sisa najis pada seluar dalam anak anda atau kekerapan kencing (disebabkan tekanan najis keras terhadap pundi, mungkin merunsingkan keluarga namun kebarangkalian besar boleh dirawat dengan membekalkan ubat pelembut najis.
Sembelit
Terdapat tiga perkara yang dapat membantu masalah sembelit pada kanak-kanak iaitu diet, melatih anak anda membuang air besar dan pengambilan ubat pelembut najis.
Anda harus menggalak anak mengambil makanan berserat tinggi, minum air sebanyak mungkin atau jus prun sekiranya sembelit, makan buah-buahan dan sayur-sayuran.
Bagaimanapun, bukan mudah untuk mengajak anak makan sayur; justeru gantikan sayur dengan buah-buahan. Lebih baik jika anda sekeluarga dapat menikmati buah-buahan ini bersama-sama kerana ia secara tidak langsung menimbulkan suasana seronok yang merangsang keinginan anak makan.
Selain itu, anak kecil harus dilatih untuk duduk di kerusi tandas lebih kurang 10 minit pada masa yang sama setiap hari dan sebolehnya selepas makan untuk mendapat pergerakan usus yang normal.
Rawatan sembelit berbeza mengikut peringkat umur kanak-kanak. Ubat pelembut najis akan dibekalkan sehingga anak anda dapat membuang air besar tanpa masalah. Ada kalanya ubat sabun enema akan diberikan kepada kanak-kanak yang lebih besar yang mengalami masalah sembelit.
Pemeriksaan lanjut perlu dilakukan sekiranya anak anda tidak membuang air besar melebihi 10 hari, masalah sembelit yang berulang sejak lahir, dubur sentiasa luka atau buasir yang diakibatkan sembelit.
Ujian X-ray dan darah mungkin akan dilakukan serta pemeriksaan lanjut seperti colonoscopy untuk mengenal pasti punca sembelit.
Sembelit adalah masalah yang biasa terjadi kepada kanak-kanak tanpa mengira usia. Ibu bapa harus sentiasa positif, bersabar, memberi sokongan dan melatih anak ke tandas supaya dapat membentuk pergerakan usus yang normal.
myra
|
|