|
aramyra
Moderator
    
 Malaysia
3032 Posts |
Posted - 29/12/2007 : 10:58:27 PM
|
Mahkamah benarkan permohonan Anuar Zain batalkan saman syarikat rakaman
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini Khamis membenarkan permohonan penyanyi popular Anuar Zain untuk membatalkan saman oleh syarikat rakaman Synchrosound Records Label Music Sdn Bhd terhadapnya.
Penolong Kanan Pendaftar Siti Aishah Ab Rashid membuat keputusan itu dalam kamarnya.
Ketika ditanya mengenai alasan mahkamah membenarkan permohonan Anuar itu, peguam yang mewakilinya Aizul Rohan Anuar berkata ini kerana mahkamah mendapati syarikat rakaman Synchrosound seolah-olah tidak berminat untuk meneruskan samannya terhadap Anuar kerana sering gagal hadir ke mahkamah untuk pengurusan kes sejak kes saman difailkan tahun lepas.
Aizul Rohan berkata pada prosiding hari ini juga, peguam kepada syarikat rakaman itu sekali lagi tidak hadir.
Bagaimanapun, permohonan Anuar untuk tuntutan balas terhadap saman yang difailkan oleh syarikat rakaman itu masih diteruskan.
Anuar menfailkan tuntutan balas terhadap syarikat rakaman itu atas alasan bukan beliau yang memungkiri perjanjian seperti yang didakwa oleh syarikat berkenaan.
Pada 21 April 2006, syarikat Synchrosound memfailkan saman terhadap Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Annuar Zain atas dakwaan melanggar perjanjian kontrak rakaman yang ditandatanganinya pada 23 Feb 2001.
Mengikut pernyataan tuntutan, syarikat rakaman itu mendakwa mengikut perjanjian, kontrak rakaman itu bermula dari tarikh 23 Feb 2001 hingga 22 Feb 2005 dan Anuar sepatutnya merakamkan satu album setahun bermula tahun 2001, yang mengandungi lagu-lagu yang dipilih oleh syarikat rakaman itu.
Untuk keseluruhan tempoh masa perjanjian itu Anuar sepatutnya merakamkan empat buah album.
Bagaimanapun, Anuar hanya dapat merakamkan satu album pada 2001 dan gagal serta enggan merakamkan sebarang album mengandungi lagu-lagu yang dipilih syarikat rakaman itu walaupun diminta berbuat demikian.
Syarikat rakaman itu mendakwa, Anuar menggunakan pelbagai cara untuk memungkiri perjanjian kontrak itu seperti membuat permintaan yang tidak munasabah, di samping gagal/enggan menghadiri mesyuarat dengan syarikat rakaman itu.
Syarikat itu mendakwa pada 11 Sept 2004, Anuar menulis sepucuk surat untuk membatalkan perjanjian kontrak tersebut tanpa memberikan sebarang alasan dan/atau sebab untuk berbuat demikian.
Syarikat itu juga mendakwa tindakan Anuar membatalkan perjanjian kontrak tanpa merakamkan tiga lagi album, memungkiri perjanjian dalam kontrak itu, dan sehubungan itu syarikat rakaman tersebut menuntut gantirugi, kos dan lain-lain perintah yang dianggap sesuai oleh mahkamah.
Anuar, 37, dalam pernyataan pembelaan dan tuntutan balasnya menafikan adanya peruntukan dalam perjanjian kontrak itu untuk beliau merakamkan satu album pada setiap tahun bermula 2001 hingga 2005.
Anuar juga menafikan beliau ada membuat permintaan yang tidak munasabah dan beliau mempunyai sebab mengapa tidak menghadiri pertemuan dengan syarikat rakaman itu seperti didakwa.
Penyanyi itu juga mendakwa mengikut perjanjian kontrak rakaman itu yang bertarikh 23 Feb 2001, ia mempunyai tempoh hayat 12 bulan saja dan mengikut perjanjian itu, beliau diberikan pilihan sama ada untuk melanjutkan tempoh hayat atau tidak tertakluk kepada syarat bahawa Notis Lanjutan haruslah diberikan kepadanya dua bulan sebelum penamatannya.
Bagaimanapun, Anuar mendakwa syarikat rakaman itu pada bila-bila masa tidak memberikan kepadanya apaapa Notis Lanjutan. BERNAMA
Sumber: © 2007 mStar - 28 Dec. 2007
|
myra |
|